Showing posts with label fekah. Show all posts
Showing posts with label fekah. Show all posts

Thursday, April 9, 2009

Perkara Yang membatalkan Puasa

KEMUSYKILAN TENTANG PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

Soalan; ustaz, saya ada satu kemusykilan; adakah perkara-perkara ini membatalkan puasa:
-menelan kahak atau hingus yang turun dari hidung
-tertelan air liur selepas bersahur yang masih mengandungi sisa-sisa makanan selepas masuknya azan subuh
-mengorek hidung dan mengorek tahi telinga menggunakan putik kapas
-air masuk ke dalam telinga dan melalui dubur sewaktu menyelam di sungai
-mandi atau menggosok gigi selepas gelincir matahari
sekian terima kasih.

Jawapan;

Dalam masalah perkara yang membatalkan puasa, ada di antaranya yang disepakati oleh ulamak dan ada yang menjadi khilaf. Menurut Imam Ibnu Ruysd; secara amnya ada tiga perkara yang diijmakkan ulamak (yakni telah disepakati sekelian ulamak) bahawa ia membatalkan puasa, iaitu;[1]
1. Makan
2. Minum
3. Jimak (bersetubuh)

Selain dari itu, terdapat khilaf di kalangan ulamak termasuk perkara-perkara yang disebut dalam soalan di atas. Bagi masalah menelan gelema, dahak dan hingus; para ulamak berbeza pandangan; ada yang berkata ia membatalkan puasa dan ada yang berkata ia tidak membatalkan puasa.[2] Menurut mazhab Syafi’ie; gelema/dahak yang dikeluarkan dari dalam tekak, jika diludahkan keluar tidaklah membatalkan puasa. Namun jika gelema/dahak itu ditelan kembali selepas berada dalam mulutnya, maka batallah puasa. Adapun menyedut gelema dari kepala/hidung, jika terus masuk ke dalam kerongkong tanpa melalui perantaraan mulut, tidaklah membatalkan puasa. Namun jika disedut masuk ke mulut, kemudian ditelan maka batallah puasa. Jika diluahkan, maka tidak batallah puasa.[3] Menurut ulamak-ulamak yang lain; menelan gelema tidaklah membatalkan puasa kerana ia biasa berada dalam mulut dan datangnya dari dalam badan bukan dari luar, jadi diumpamakan seperti air liur.[4]

Mengenai sisa makanan dalam air liur; hendaklah dilihat pada dua keadaan;

1. Jika sisa-sisa makanan itu amat sedikit, sukar untuk dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka telah disepakati oleh ulamak bahawa ia tidak membatalkan puasa jika tertelannya. Hukumnya sama seperti menelan air liur sendiri yang sukar untuk dielakkan.

2. Adapun jika sisa-sisa makanan itu banyak, boleh dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka jika diluahkan tidaklah membatalkan puasa. Jika ditelan, batallah puasa mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Abu Hanifah; batal puasa jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang darinya, menelannya tidaklah membatalkan puasa, namun makruh.[5]

Setakat mengorek hidung tidaklah membatalkan puasa. Yang membatalkan puasa ialah jika dimasukkan sesuatu ke dalam hidung hingga melepasi bahagian akhir hidung (yakni hingga sampai ke kepala) atau hingga masuk ke kerongkong.

Mandi adalah harus bagi orang berpuasa dengan syarat tidak berlebihan hingga air memasuki ke dalam rongga tubuh yang terbuka (iaitu rongga halqum (kerongkong), lubang telinga, lubang dubur dan saluran zakat/faraj).[6] Menurut mazhab Syafi’ie; termasuk dalam pengertian berlebihan ketika mandi ialah mandi dengan menyelam. Jika seseorang menyelam lalu masuk air ke dalam rongga tubuhnya tadi, batallah puasanya. Seorang yang mengetahui bahawa kebiasaannya jika ia menyelam akan masuklah air ke dalam rongga tubuhnya, baginya haram mandi dengan menyelam ketika berpuasa.[7] Adapun mengikut mazhab Abu Hanifah; masuk air ke dalam telinga kerana menyelam tidaklah membatalkan puasa.[8]

Menurut mazhab Syafi’ie; memasukkan kayu ke dalam telinga akan membatalkan puasa. Menurut Imam Abu Hanifah; tidaklah batal puasa. Jadi, mengikut mazhab Syafi’ie; tidak harus mencuci telinga dengan putik kapas pada siang hari di bulan Ramadhan kerana ia boleh merosakkan puasa. Adapun mengikut mazhab Hanafi, perbuatan tersebut tidak ada halangan kerana ia tidak membatalkan puasa, cuma yang sebaiknya ialah meninggalkannya (untuk mengelak dari pertikaian ulamak). [9]

Mengenai mandi sebelum berbuka puasa, hukumnya makruh mengikut mazhab Syafi’ie kerana ia mengembalikan kesegaran pada badan, lalu menghilangkan hikmah puasa iaitu merasai kepayahan menahan lapar kerana Allah. Begitu juga, dimakruhkan orang yang sedang berpuasa berseronok/bersenang dengan perkara-perkara harus seperti mencium bau-bauan harum, kerap masuk bilik air, mendengar bunyi-bunyi yang menyenangkan dan sebagainya kerana ia berlawanan dengan hikmah dan kehendak puasa tersebut.[10] Namun, ramai ulamak menolak alasan tersebut berdalilkan hadis dari beberapa orang sahabat yang menceritakan; “Kami telah melihat Rasulullah s.a.w. ketika berada di satu kampong Arab bernama al-‘Araj, baginda mencurah air ke atas kepalanya ketika baginda sedang berpuasa untuk meredakan dari lapar atau dari kepanasan” (HR Imam Abu Daud dan al-Hakim). Menurut mazhab Abu Hanifah; tidak makruh mandi dan menyelimuti badan dengan kain yang basah untuk menyejukkan badan.[11]

Mengenai bersugi selepas masuk waktu zohor, menurut mazhab Syafi’ie; hukumnya makruh kerana ia akan menghilangkan bau mulut yang dinyatakan di dalam hadis bahawa bau mulut itu lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi. Namun sebahagian ulamak yang lain tidaklah memakruhkannya kerana bersugi telah disunatkan oleh Nabi s.a.w. pada setiap kali hendak solat secara umum tanpa baginda mengecualikannya pada bulan Ramadhan. Lagi pun terdapat hadis dari ‘Amir bin Rabi’ah r.a. menceritakan; “Banyak kali aku melihat Nabi s.a.w. bersugi ketika beliau sedang berpuasa” (HR Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis hasan).[12]

Dalam mengemukakan perkara-perkara yang membatalkan puasa (malah juga ibadah-ibadah yang lain), di kalangan ulamak ada yang mengambil pendekatan ihtiyat (berhati-hati) dan ada yang mengambil pendekatan berpada dengan sekadar yang disebut di dalam nas. Mazhab-mazhab Fiqh yang masyhur (Hanafi, Syafi’ie, Maliki dan Hanbali) kelihatannya mengambil pendekatan pertama, kerana itu huraian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam kitab-kitab mazhab cukup panjang berjela walaupun nas-nas yang berkaitan dengannya sedikit sahaja. Beberapa ulamak terkenal – seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Syaukani dan sebagainya- cenderung mengambil pendekatan kedua. Menurut Imam Ibnu Hazm; Memasukkan ubat melalui lubang dubur, menitik air/ubat melalui saluran kencing atau telinga, menyedut ubat melalui hidung, bercelak, merawati luka yang menembus ke perut dan luka yang sampai ke dalam kepala; semuanya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak tergolong dalam pengertian makan dan minum. Kata beliau; “Sesungguhnya kita ditegah Allah ketika sedang berpuasa dari makan, minum, jimak, sengaja muntah dan melakukan maksiat. Tidak pernah kita mengetahui bahawa makan dan minum boleh melalui dubur atau saluran kencing atau telinga atau mata atau hidung atau luka yang menembusi ke perut dan ke kepala. Kita tidak ditegah sekali-kali dari memasukkan sesuatu ke rongga dalam –selain dari makan dan minum- selama ia tidak diharamkan (oleh nas Syarak) ke atas kita”. (al-Muhalla, 4/348).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz; “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain, maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 3.
2. Bidayatul-Mujtahd, Imam Ibnu Ruysd, jil. 1.
3. Rahmatul-Ummah Fi Ikhtilaf al-A,immah, Syeikh Abi Abdillah Muhammad bin Abdirrahman ad-Dimasyqi.
4. Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub.
5. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 2.
6. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, jil. 1.
7. Panduan Puasa, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

Nota Kaki;

[1] Bidayatul-Mujtaihid, 1/381.
[2] Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 436.
[3] Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/77.
[4] Al-Fiqh al-Islami, Wahbah az-Zuhaili, 2/657, al-Wajib, Wahbah Zuhaili, 1/342, Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/77.
[5] Rahmatul-Ummah, hlm. 92, Fiqh al-Ibadat, hlm. 436, Al-Fiqh al-Islami, 2/658.
[6] Al-Mughni, 2/78.
[7] Al-Mughni, 2/78.
[8] Al-Fiqh al-Islami, 2/657.
[9] Al-Wajiz, 1/343, al-Fiqh Islami, 2/657.
[10] Al-Wajiz, 1/339, al-Fiqh al-Islami, 2/636, 638.
[11] Al-Fiqh al-Islami, 2/637.
[12] Al-Fiqh al-Islami, 2/637, 640.


(Klik untuk baca selanjutnya)

Wednesday, April 8, 2009

Wudhu' ketika Haid

Wudhuk Ketika Haid

assalamualaikum.....

saya nk tanya ...apakah hukum perbuatan berwudhuk bagi seorang wanita yang sedang haid?

apakah hukum jika wudhuknya bertujuan untuk mengikut sunnah Nabi S.A.W seperti sebelum tidur ataupun ketika hendak menghilangkan marah?

bagaimana cara terbaik untuk menyampaikan perkara ini kepada saudara baru yang bertanya?

sekian terima kasih...

jawapan :

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Mana-mana wanita yang didatangi Haid atau Nifas terhalang daripada melakukan tujuh perkara ibadat;

1) Mandi Haid/Nifas atau berwuduk
2) Solat
3) Puasa
4) Tawaf
5) Membaca Al-Quran, menyentuh dan membawanya
6) Masuk Masjid
7) Brsetubuh dengan suami walaupun dengan lapik

Ini merupakan tujuh larangan yang diharamkan kepada wanita yang didatangi Haid atau Nifas untuk melakukannya. Wanita yang didatangi Haid dan Nifas hanya diberi kelonggaran untuk mandi sunat Ihram sahaja, bahkan sunat.

Mandi junub, mandi sunat ihram, mandi haid @ nifas dan selainnya sama sahaja. Hanya berbeza pada sudut niat.

BERWUDUK KETIKA HAID/NIFAS

Berhubungan dengan persoalan penanya menjurus kepada bahagian pertama. Kemungkinan kemusykilan yang ingin ditanya, apakah larangan berwuduk (bersuci) itu secara mutlak tanpa pengecualian?

Berkata Syafieyah dan Hanabilah: Mandi Haid@Nifas dan berwuduk hanya dikhususkan kepada mereka yang tidak berhalangan. Perempuan yang sedang didatangi Haid/Nifas tidak akan terangkat hadas mereka dengan mandi atau berwuduk tersebut. Jika dilakukannya dengan tujuan bermain-main, perbuatan ini boleh membawa kepada Riddah.

Hanafiah berpendapat: Haid hanya menghalang dari sah bersuci tetapi tidak mengharamkannya. Bahkan disunatkan bagi wanita di dalam keadaan Haid berwuduk setiap kali solat dan duduk di tempat solatnya untuk bertasbih dan tahlil sekadar waktu solat dilaksanakan. Perbuatan ini dilakukan supaya dia tidak melupakan adat kebiasaannya.

DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM

Kurang pasti apa yang cuba dimaksudkan oleh penanya berkenaan “perkara ini”. Adakah perkara ini yang dimaksudkan berwuduk ketika haid atau berwuduk dengan tujuan meniru sunah nabi. Sekadar beberapa prinsip dengan Non Muslim apabila kita ingin membicarakan soal ibadat;

1) Perkenalkan kedudukan hamba dibandingkan tuan pada hak dan tuntutan. Semua hamba wajib mentaati perintah tuannya.

2) Zahirkan hikmah dan logik yang ada pada sesuatu perintah yang dituntut oleh syarak.

3) Pamerkan Islam merupakan agama yang suci dan bersih. Setiap menitik beratkan kebersihan pada semua keadaan. Walaupun wuduk wanita haid tidak sah akan tetapi sikap meninggalkan perbuatan tersebut juga merupakan pahala kerana mentaati perintah Allah.

KESIMPULAN

1) Khilaf di antara Ulama sama ada membenarkan berwuduk atau tidak, bergantung pada niat individu yang melakukannya.

2) Diharamkan wanita yang didatangi Haid/Nifas berwuduk jika bertujuan untuk mengangkat hadas dalam keadaan dia mengetahui tidak sah wuduknya, ini kerana dia bermain-main dengan hukum.

3) Jika tujuan berwuduk atau mandi junub dengan tujuan membersihkan diri atau menyejukkan badan atau apa-apa saja niat yang tidak melanggar syarie, maka tidak menjadi masalah. Ini pendapat yang dipegang oleh Auzaie, Malik, Thauri dan Abu Thaur.

4) Wajar mempertahankan pendapat salaf soleh agar berterusan dengan mengambil waktu solat tersebut dengan berwuduk dan berzikir agar kebiasaan itu tidak dilupakan.

5) Para wanita banyak yang dirasuk jin dan menjadi lemah kerana mengabaikan ibadat di waktu uzur. Keuzuran bukan alasan untuk meninggalkan semua ibadat kerana meninggalkan solat pada waktu uzur juga merupakan satu ibadat. Perbanyakan zikir dan wirid pada waktu uzur sebagai menampung kekurangan ibadat di waktu ini.

6) Tidak menjadi kesalahan untuk berwuduk sebelum tidur atau pada ketika marah walaupun dalam keadaan uzur.

Hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Aisyah;

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ وَهُوَ جُنُبٌ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ

Maksudnya: Baginda Nabi apabila ingin tidur di dalam keadaan beliau berjunub, baginda akan berwuduk seperti hendak melaksanakan solat sebelum masuk tidur.

7) Berbicara dengan Non Muslim dengan logik dan menzahirkan hikmah perintah Allah disyariakan.

Allahu A’lam

Disediakan:
Muhammad Aidil Azwal Bin Zainudin


(Klik untuk baca selanjutnya)

Tuesday, April 7, 2009

Bulu Kucing-batal @ Tidak?

Assalamu'alaikum wbth.

BINATANG YANG TIDAK HALAL DIMAKAN DAGINGNYA

Jika bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing, monyet, musang dan sebagainya, terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu tersebut adalah najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikianlah juga anggota-anggotanya yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115).

HUBUNGANYA DENGAN SEMBAHYANG

Menurut hukum syarak syarat sah mengerjakan sembahyang itu hendaklah bersih daripada segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang.

Oleh itu, jika terdapat bulu binatang yang hukumkan najis pada pakaian atau badan maka sembahyang itu tidak sah kerana menanggung sesuatu yang najis. Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit, seperti sehelai atau dua helai, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap najis walaupun hanya sedikit. (AL-Feqh Al-Islami Wa Adilatuh ayat 1/175).

Apakah yang harus dilakukan oleh orang yang sedang sembahyang mendapati ada bulu najis pada pakaiannya? Menurut Ashhab Asy Syafi’e, apabila orang yang sedang sembahyang itu mendapati ada najis yang kering pada pakaian atau badannya, maka pada saat itu juga hendaklah dia mengibas najis tersebut. Jika dia mendapati najis yang basah pula hendaklah dia segera menanggalkan atau mencarik pakaiannya yang bernajis itu tanpa menyentuh najis tersebut. Adapun jika dia tidak segera menanggalkan atau mengibas pakaian yang bernajis itu maka batal sembahyangnya.

Pakaian yang terkena bulu yang najis hendaklah terlebih dahulu dibersihkan. Cara membersihkannya ialah jika bulu itu kering dan pakaian atau anggota badan yang tersentuh bulu itu juga kering adalah memadai dengan menanggalkan najis itu sama ada dengan mengibas, mengibar atau menyapunya. Adapun jika bulu itu basah ataupun pakaian atau anggota badan yang terkena najis itu sahaja yang basah maka hendaklah ditanggalkan najis itu dan dibersihkan dengan air yang suci disekitar yang terkena najis. (Fath Al-‘Allam, Kitab Ath-Thararah, Bab Izalah An-Najasah ayat 1/347).

Oleh kerana persoalan memakai pakaian daripada bulu itu adalah berkaitan dengan persoalan hukum najis, maka perlulah kita berhati-hati dalam memilih dan memanfaatkannya supaya pakaian yang dipilih itu diyakini diperbuat daripada bulu yang suci dan boleh kita guna pakai seperti ketika sembahyang dan sebagainya.

Sumber : Mufti Brunei


(Klik untuk baca selanjutnya)

Saturday, January 26, 2008

Masalah haid + masjid

Pencerahan Berkenaan Hukum Wanita (HAID) Memasuki Masjid

Pendapat Para Ilmuan Dalam Persoalan Ini.Jika dikaji kitab fiqh dari keempat-empat mazhab, akan ditemui bahawa kebanyakan mereka (jumhur) berpandangan bahawa wanita yang didatangi haid tidak boleh memasuki masjid dan mendiaminya.

Dalilnya adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ.Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub.

Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya, hadis no: 220 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan orang junub yang memasuki masjid). Selain itu ia juga dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 2001), perawi no: 1710 (Bab Alif: Aflat bin Khalifah), Imam Ibn Khuzaimah dalam Shahihnya (tahqiq: M. Musthafa al-‘Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1996), hadis no: 600 (Kitab himpunan bab keutamaan masjid, Bab tegahan duduk bagi orang yang junub dan haid dalam masjid) dan Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (tahqiq: M. ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), hadis no: 4323 (Kitab al-Solat, Bab orang junub melalui masjid dan tidak berdiam di dalamnya).

Kesemuanya melalui jalan sanad yang berpangkal kepada Aflat bin Khalifah, dari Jasrah binti Dajajah, dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha. Kedua-dua perawi di atas, Aflat bin Khalifah dan Jasrah binti Dajajah, diperselisihkan kedudukan mereka dari sudut al-Jarh wa al-Ta’dil.

Sebahagian ahli hadis ada yang menilai mereka lemah dan ada yang menilai mereka lebih kuat dari sekadar lemah. Ada yang menolak hadis-hadis yang mereka sampaikan, ada yang menerimanya jika ia memiliki penguat yang lain dan ada yang menerimanya secara mutlak.Oleh itu sekali pun pada zahirnya keempat-empat mazhab bersepakat menggunakan hadis yang mereka sampaikan berkenaan larangan bagi wanita yang didatangi haid dan orang junub dari memasuki masjid, telaah yang cermat terhadap pelbagai kitab para ahli hadis dan fiqh menemukan tiga perselisihan pendapat berkenaan darjat hadis tersebut:

Ada yang menilai hadis tersebut adalah dha‘if (lemah). Ini adalah penilaian Imam al-Bukhari, Imam Ibn Hazm, Imam Ibn al-Rif‘ati (ابن الرفعة), Imam al-Khaththabi, Imam ‘Abd al-Haq dan Imam Ibn Rusyd.Ada yang menilai hadis tersebut adalah hasan. Ini adalah penilaian Imam Ibn al-Qaththan, Imam Abu Daud dan Imam al-Zayla’e.Ada yang menilai hadis tersebut adalah shahih. Ini adalah penilaian Imam Ibn Khuzaimah dan Imam al-Syaukani.Lebih lanjut rujuk:· al-Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari, perawi no: 1710.· al-Muhalla bi al-Atsar oleh Imam Ibn Hazm (tahqiq: ‘Abd al-Ghaffar Sulaiman; Dar al- Kutub al-Ilmiah, Beirut, tp.thn.), jld. 1, ms. 400-401, masalah no: 262.· Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (Maktabah Musthafa al-Baz, al-Riyadh, 1996), jld. 1, ms. 212, hadis no: 185.· Bidayah al-Mujtahid oleh Imam Ibn Rusyd (tahqiq: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Ma‘awwadh; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 1, ms. 541.· al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Imam al-Nawawi (tahqiq: M. Najib Ibrahim; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 129.· Nasbu al-Rayah fi Takhrij al-Ahadits al-Dirayah oleh Imam al-Zayla’e (Dar al-Hadits, Kaherah, 1995), jld. 1, ms, 276-277.· Shahih Ibn Khuzaimah, hadis no: 600.· Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar oleh Imam al-Syaukani (tahqiq: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Ma‘awwadh; Dar al-Kitab al-‘Arabi), jld. 1, ms. 344.

Perselisihan dalam menilai darjat hadis ini berterusan sehingga di kalangan para ilmuan masa kini. Di antara mereka ada yang mendha‘ifkannya dan ada yang menghasankannya. Di antara dua penilaian ini, yang manakah yang lebih tepat?Lazimnya saya sendiri suka mengkaji lebih lanjut untuk mencari penilaian yang lebih tepat. Akan tetapi dalam bab ini ada sebuah hadis lain yang tidak diperselisihkan, sehingga dengan itu tumpuan kita tidak perlu ditujukan kepada hadis di atas yang diperselisihkan.

Persoalan ini kerapkali ditimbulkan oleh muslimat terutamanya apabila diadakan program atau aktiviti di masjid seperti kuliah, ceramah, tamrin, usrah dan sebagainya yang melibatkan mereka. Persoalan ini memerlukan jawapan yang jelas supaya tidak timbul sebarang kesamaran mengenainya.

Bagi menyelesaikan persoalan ini, dikemukakan pandangan beberapa orang ulama’ beserta hujjah-hujjah mereka.

Terdapat pandangan yang berbeza mengenai hukum perempuan haid duduk atau berhenti di dalam masjid. Ada yang mengatakan hukumnya haram dan ada yang mengatakan harus

Pendapat yang mengatakan hukumnya haram;

Pertama:
الشيخ محمد أرشد بن عبد الله البخارى di dalam kitabnya سبيل المهتدين للتفقه فى أمر الدين
Mengatakan:
“Bermula haram sebab haid dan nifas barang yang haram sebab janabah daripada sembahyang, tawaf dan sujud tilawah dan sujud syukur dan khutbah Jumaat dan menyentuh mashaf dan berhenti di dalam masjid dan membaca al-Quran dan dengan qasad al-Quran.

Adapun lalu sahaja di dalam masjid jika takut bertitik darah haid, maka hukumnya haram kerana memelihara kesucian masjid daripada terkena najis, tetapi jika sekiranya tidak takut menitik darah haid, maka tiada haram cuma hukum makruh sahaja. (hal. 136)

Mengenai orang yang berjunub:

Syahadan bahawa haram atas orang yang berjunub yang Islam lagi baligh berhenti dalam masjid atau berjalan berulang di dalamnya, jikalau pada serambinya sekalipun, melainkan kerana dharurat seperti ada ia dalam masjid maka ihtilam (bermimpi) pada malam itu, jika takut ia akan kebinasaan harta atau dirinya, maka harus dia berhenti di dalamnya. (hal. 79)

Kedua:
الشيخ العلامة زين الدين بن عبد العزيز الملبارى di dalam kitabnya فتح المعين
Meriwayatkan diharamkan ke atas perempuan haid apa yang diharamkan ke atas orang yang berjunub.

Ketiga:
الشيخ محمد الشربينى الخطيب di dalam kitab الإقناع فى حل الألفاظ أبى شجاع
Mengatakan diharamkan ke atas perempuan haid memasuki masjid, duduk atau berulang alik di dalamnya berdasarkan firman Allah s.w.t:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا..} (النساء:آية 43) Maksudnya:
“Wahai orang yang beriman janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya), sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (menghampiri masjid), sedang kamu dalam keadaan junub, berhadas besar kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci”.

Dan Hadis Rasulullah s.a.w:
"لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ". (رواه أبو داود عن عائشة رضى الله عنها) Maksudnya:
“Tidak aku halalkan (duduk) di dalam masjid bagi perempuan haid dan orang yang berjunub”.

Keempat:
محمد اسماعيل داود فطانى di dalam kitab مطلع البدرين ومجمع البحرين
Menyatakan: “ Bermula haram dengan sebab haid dan nifas itu dengan barang yang diharamkan atas orang yang junub sekaliannya (dan) ditambahkan pula haram lalu di dalam masjid jika takut titik darahnya. (Maka jika) tiada takut maka makruh jua. (hal. 27)

Kelima:
الإمام زكريا يحى محى الدين بن شرف النووى di dalam kitab المجموع شرح المهذب للشيرازى، الجزء الثانى
Menyatakan, pengarang kitab ini berkata haram duduk perempuan haid di dalam masjid berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
"لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِجُنُبٍ وَلَا حَائِضٍ". Maksudnya:
“Tidak aku halalkan masjid (duduk di dalam masjid) bagi orang yang berjunub dan perempuan haid”.

Adapun melintas sahaja di dalamnya dengan yakin tidak menitis darah haid, maka harus hukumnya, disebabkan ia memakai pakaian yang mencegah daripada darah menitis (seperti cawat, tuala wanita dan sebagainya) kerana yang dilarang duduk ialah orang yang berhadas besar, maka tidaklah dilarang sebagaimana larangan ke atas orang yang berjunub. Kata Imam Syafie: “Adapun lalu perempuan haid tanpa berhenti duduk di dalam masjid hukumnya adalah makruh”.

Berkata guru kami, “Jika perempuan haid takut mengotori masjid, kerana ketiadaan pakaian cawat yang kalis titisan darah atau limpahan darah yang boleh menitik maka haram melintas di dalam masjid tanpa khilaf lagi”. (hal. 288 – 289)

Keenam:
الدكتور عبد الكريم زيدان di dalam kitab المفصل فى أحكام المرأة والبيت المسلم فى الشريعة الإسلامية، الجزء الأول
Fasal 298 – Hukum perempuan haid masuk ke dalam masjid dan berhenti duduk di dalamnya.
Tidak harus perempuan haid duduk di dalam masjid. Diharuskan baginya masuk dan lalu di dalamnya kerana ada sesuatu hajat, umpamanya untuk mengambil sesuatu atau menjadi laluannya. Dalilnya ialah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada isteri baginda Aisyah r.a:
" نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنْ الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ ".
(أخرجه أبو داود) (حسن صحيح)
Maksudnya:
“Unjukkan aku tikar sembahyang (sejadah) daripada masjid. Kataku bahawasanya aku dalam keadaan haid. Sabda Rasulullah s.a.w: bahawa haidmu tiada pada tanganmu”.

Di dalam hadis lain Nabi s.a.w. bersabda:
"لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ". Maksudnya:
“Tidak aku halalkan duduk dalam masjid bagi perempuan haid dan orang yang berjunub”.
Sementara di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Nabi s.a.w bersabda:
"وأن المسجد لا يحل لحائض ولا جنب".
Maksudnya:
“Sesunggunya masjid itu tidak halal (duduk di dalam masjid) bagi perempuan haid dan orang yang berjunub”.

Berkata al-Faqih al-Shaukani bahawa kedua-dua hadis tersebut menunjukkan tidak boleh duduk bagi orang yang berjunub dan perempuan haid. Inilah pendapat di kalangan kebanyakan ulama’. (hal. 168-169)

Ketujuh:
الإمام أبو الفداء اسماعيل ابن كثير القرشى الدمشقى di dalam kitab تفسير ابن كثير di dalam mentafsirkan ayat:
{وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا..} قال: لا تدخلوا المسجد وأنتم جنب إلا عابرى سبيل قال تمر به مرا ولا تجلس.
Maksudnya:
“Janganlah pula (menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub berhadas besar, kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci”. Dia berkata jangan kamu masuk ke dalam masjid , sedangkan kamu dalam keadaan berjunub, kecuali untuk lalu sahaja, bukan duduk di dalamnya.

Sebab turun ayat ini ialah berkenaan dengan orang-orang lelaki dari golongan Ansar yang berjunub, tidak ada air di rumah mereka untuk mandi, sedangkan pintu rumah mereka menghala ke dalam masjid dan untuk mendapatkan air kena lalu di dalam masjid, maka turun ayat ini.

Para Imam Mujtahid berhujjah dengan ayat ini, bahawa haram bagi mereka yang berjunub duduk di dalam masjid. Sementara lalu di dalamnya hukumnya harus. Begitu juga hukumnya bagi perempuan haid dan nifas. (hal. 502)

Kelapan:
Prof. Dr. Hamka, Tafsir al-Azhar, Juzuk 5.
Menyatakan: Bagi perempuan ditambah lagi, iaitu sedang berhaid atau sedang mengeluarkan darah kotor sehabis beranak (nifas), waktu itu namanya diri sedang berhadas besar, sedang kotor. Barulah suci sesudah mandi, yang dinamai mandi junub atau mandi wajib, belum boleh sembahyang atau mendekati tempat sembahyang iaitu masjid pun jangan, kecuali orang-orang yang melintasi jalan di dalam masjid, iaitu terpaksa melintasi masjid atau menyeberanginya, kerana dengan menyeberangi dalam masjid itu akan cepat sampai ke tempat yang ditujui di luar masjid. Dengan demikian dijagalah kebersihan dan kesucian masjid. Hanya boleh menyeberang dan tidak boleh tetap di dalamnya misalnya buat i’tikaf. (hal. 1229)

Kesembilan:
بحر المازى شرح باكى مختصر صحيح الترمذى:

1) باب الحائض تتناول من المسجد.
Dari al-Qasim bin Muhammad, katanya: berkata Aisyah r.a:
قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنْ الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ." (حسن صحيح) Maksudnya:
Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadaku “Unjukkan aku tikar sembahyang (sejadah) daripada masjid. Kataku bahawasanya aku dalam keadaan haid. Sabda Rasulullah s.a.w: bahawa haidmu tiada pada tanganmu”.

Nabi s.a.w. sedang beri’tikaf di dalam masjid meminta Siti Aisyah r.aunjuk tikar daun tamar, lapik sembahyang, Siti Aisyah r.a kata ia dalam keadaan haid dan tahu haram masuk masjid, maka bagaimana hendak unjuk tikar kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa haidmu itu bukannya pada tanganmu, maka apa salahnya engkau mengunjukkan dari luar masjid dan Rasulullah s.a.w di dalamnyabahkan jangan dengan badan kamu masuk masjid maka tiadalah berdosa kamu.

2) باب جاء فى خروج النساء فى العيدين.
عن أم عطية أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يخرج الابكار والعواتق وذوات الخدور والحيض فى العيدين. فأما الحيض فيعتزلن المصلى ويشهدن دعوة المسلمين. قالت إحداهن: يا رسول الله إن لم يكن لها جلباب قال فلتعرها أختها من جلابيها. (حسن صحيح) Maksudnya:
Daripada Ummu ‘Athiah bahawa Rasulullah s..a.w adalah ia mengeluarkan gadis-gadis dan perempuan muda dan semua yang ditabirkan dan perempuan-perempuan haid pada dua hari Raya, maka adapun perempuan-perempuan haid, maka jauh mereka akan tempat sembahyang dan hadir sekalian akan seruan mukmin. Kata seorang daripada mereka, “wahai Rasulullah s.a.w. jika tidak ada bagi mereka kain tudung (jilbab)”. Sabdanya: “Berilah pinjam akan dia oleh saudaranya daripada kami tudungnya (jilbabnya)”.


Pendapat yang mengharuskan perempuan haid duduk berhenti di dalam masjid;

Merupakan pendapat daripada sebahagian ulama’, di antara mereka ialah داود الظاهرىdanالمزنى . Mereka berhujjah dengan mengatakan mereka yang melarang perempuan haid duduk atau berhenti di dalam masjid tidak mempunyai hujjah yang sah.
(Lihat, الدكتور عبد الكريم زيدان، المفصل فى أحكام المرأة والبيت المسلم فى الشريعة الإسلامية، الجزء الأول
Halaman 168-169)

Ulasan:
Para ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum perempuan haid yang masuk ke dalam masjid dan duduk di dalamnya. Ada yang mengatakan haram dan ada yang mengatakan harus.
Pendapat yang mengatakan haram lebih ramai dan lebih kuat hujjah mereka berbanding dengan pendapat yang mengatakan harus.

Pendapat yang mengatakan haram beralasan kerana perempuan haid adalah berhadas besar seperti juga orang yang berjunub. Sedangkan orang yang berjunub jelas dilarang duduk atau berhenti di dalam masjid. Al-Quran dan al-Hadis jelas melarangnya.

Perempuan haid hanya boleh melintasi, menyeberang dan melalui dalam masjid dengan syarat ia yakin dan pasti darah haidnya tidak menitis dengan memakai cawat atau pakaian yang kalis daripada menitis atau melimpah darah haid.

Perempuan haid hanya boleh duduk atau berhenti di dalam masjid dalam keadaan dharurah dan terpaksa. Seperti menjaga keselamatan dirinya dan harta bendanya daripada bahaya. Apakah duduk di dalam masjid menyertai program dan aktiviti itu dharurat dan terpaksa?
Kebersihan dan kesucian hendaklah dijaga, samada dari segi zahirnya mahupun batinnya.
Jika sekiranya seseorang perempuan sedang beriktikaf di dalam masjid, tiba-tiba dia datang haid, maka dia hendaklah keluar dan meninggalkan masjid. Jika dikiaskan dengan ibadat lain sama juga hukumnya.

Konklusi:
Daripada pendapat yang diutarakan, sepertimana penulis asal,saya juga lebih cenderung dan bersetuju dengan pendapat ulama’ yang mengharamkan perempuan haid berhenti dan duduk di dalam masjid, memandangkan hujjah mereka jelas dan kuat berdasarkan al-Quran dan al-Hadis jika dibandingkan dengan pendapat yang mengharuskannya. Adapun menyertai program atau aktiviti tidak semestinya boleh dilakukan dengan duduk di dalam masjid dan tidaklah ianya sampai ke tahap dharurat atau terpaksa kerana boleh dilakukan cara lain sesuai dengan kemudahan-kemudahan lain seperti duduk di dalam dewan, markas, khemah dan dengan menggunakan skrin layar, tv litar dan lain-lain kemudahan IT berdasarkan kaedah fikah:
"درء المفاسد مقدم على جلب المصالح"
Maksudnya:
“Membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan”.

Sekian, wallahu a’lamu bissowab.
Adaptasi dari tulisan Ustaz Hj.Abu Bakar Abdullah


(Klik untuk baca selanjutnya)
Related Posts with Thumbnails

DOWNLOAD BAHAN ILMIAH

حيا بالعربية

محادثة
@ يـَــا عـَــائِــشـَــة ُ، هـَـٰــذِهِ صـَــدِيـْــقـَــتـِــى خـَــدِيـْــجـَــة

@ Hai Aisyah, ini temanku Khadijah.

& أ َهـْــلاً وَسـَــهـْــلاً، كـَــيـْــفَ حـَــالـُــكِ يـَــا خـَــدِيـْــجـَــة

& Semoga anda menjadi keluarga kami dengan segala kemudahan, bagaimana khabarmu hai Khadijah?

@ أ َنـَــا بـِــخـَــيـْــر ٍ اَلـْــحـَــمـْــدُ لـِــلـَّــه، وَمـَــا اسـْــمُــكِ؟

@ Saya baik alhamdulillah, siapakah nama awak?

& إ ِسـْــمـِــى مـَــرْيـَــمُ بـِــنـْــت ُ الـْــحـَــاج ِ حـَــسـَــنْ

& Nama saya Maryam binti Haji Hasan.

@ مـَــا شـَــاءَ الله إ ِسـْــمٌ جـَــمـِــيـْــلٌ، أ َيـْــن َ تـَــسـْــكـُــنـِــيـْــن َ يـَــا مـَــرْيـَــمُ؟

@ Masya Allah nama yang bagus, di manakah awak tinggal hai Maryam?

& أ َسـْــكـُــن ُ فـِى رَقـْــم ِ ٤٨ مـِــنْ شـَــار ِع ِ مـِــيـْــلاَوَاتـِــىْ

& Saya tinggal di nombor 48 Jalan Melawati.

@ إ ِذ َن ْ بـَــيـْــتـُــكِ قــَــر ِيـْــبٌ مـِــنْ هـُــنـَــا

@ Kalau demikian rumah awak dekat sahaja dari sini.

& أ َجـَــلْ، مـِــائَــتـَــان ِ وَخـَــمـْــسـُــوْن َ مـِــتـْــرًا تـَــقـْــر ِيـْــبـًــا

& Ya, lebih kurang 250 meter dari sini.

@ هـَــلْ تـَــسـْــمـَــحـِــيـْــن َ لـِــى بـِــز ِيـَــارَتـِــكِ يـَــا مـَــرْ يـَــمُ؟

@ Apakah awak membolehkan saya mengunjungi awak hai Maryam?

& بـِــكـُــلِّ السـُّــرُوْرِ

& Dengan segala senang hati.

MARI BELAJAR BAHASA ARAB =)

BERSAMA MYKRK

ARAB MADINAH

ARAB INDO