Sunday, December 20, 2009

keduniaan yang merugikan akhirat :: Ambillah iktibar

KEDUNIAAN YANG MERUGIKAN AKHIRAT

Bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana melahirkan kita ke alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan dan insyallah akan dimatikan dengan izinNya. Kita dipinjamkan jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang diizinkan yang kita sendiri tidak mengetahui kecuali diriNya. Hidup kita mengikut apa yang disabdakan oleh Baginda Rasul sebagai seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh dan memerlukan banyak bekalan. Tentunya dalam perjalanan itu banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamat untuk ke destinasi. Pengembara yang bijak tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kebahagiaan sementara yang ditempuh dalam perjalanan kerana dia tahu bahawa dia sebenarnya adalah warga satu alam lagi. Manakala pengembara yang lupa daratan akan menikmati sepuas-puasnya apa sahaja yang ditempuh; seolah-olah iniah dunianya sehingga terlupa matlamat asal untuk menuju ke dunianya yang sebenar. Mereka terpedaya dengan kemanisan dunia dan menyangkakan apa yang dipungut itulah BEKALAN.

Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas yang dipiawaikan oleh Rasul. Untuk sampai ke destinasi AKHIRAT, pungutlah bekalan sebanyak mungkin. Anggaplah segala keseronokan duniawi sebagai BEBAN yang boleh menjejaskan perjalanan ke sana. Ingatlah pesanan orang tua : Kita sebenarnya adalah WARGA AKHIRAT - tempat yang kekal abadi; sementara dunia ini ialah rumah tumpangan sementara yang penuh kepalsuan dan tipu-daya. Oleh itu kita mestilah bijak memilih mana satu BEKALAN dan mana satu BEBAN. Barangan yang dikategori sebagai BEBAN akan menyusahkan perjalanan ke akhirat manakala barangan BEKALAN akan berfaedah untuk kehidupan di sana. Kutiplah bekalan sebanyak mungkin dan hindarkan memikul beban yang menyulitkan perjalanan.

Ingatlah: "Dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di Akhirat nanti."

"Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokannya."

Ramai mentafsirkan dari segi keduniaan iaitu kerja bersungguh-sungguh kerana kita akan hidup lama di dunia. Tetapi dalam hal akhirat, kita akan mati esok - jadi terpaksalah buat persiapan dengan lengkap dan berhati-hati kerana kita akan mati esok. Tafsiran begini jarang diterangkan oleh umum terutama pemburu harta di dunia.

Islam tidak menghalang umatnya mencari harta-benda dan kekayaan; asalkan ia tidak menghalang dari melakukan pengabdian kepada Allah. Malahan orang Islam yang kaya adalah amat diperlukan kerana ia adalah sumber ekonomi negara dan sebagai juruwang bagi saudaranya yang miskin dan memerlukan bantuan. Orang kaya adalah pembantu orang msikin, orang kuat adalah pelindung golongan yang lemah, orang alim sebagai sumber cahaya dan ilmu kepada orang jahil. Begitulah golongan ini saling bantu-membantu antara satu dengan lain. Apa yang Islam larang ialah meletakkan keduniaan sebagai sasaran utama dalam hidup melebihi hal-hal keakhiratan dan pengabdian kepada Allah. Sekiranya keduniaan diberikan keutamaan dalam hidup bererti konsep syahadahnya terjejas. Intipati syahadah ialah mengaku dengan sebenar-benar pengakuan bahawa Tiada lain yang lebih besar selain Allah dan pengakuan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Ini bererti tumpuan pengabdian hakiki ialah Allah dan BUKANNYA harta-benda dunia. Jika kekayaan dunia dijadikan asas hidup berertilah kita telah membesarkan dunia daripada Allah sendiri; atau dalam kata-kata lain kita bertuhankan harta bukannya Allah. Di sinilah terpesongnya aqidah orang-orang kebendaan.

Sangat beruntunglah mereka yang mempunyai harta kekayaan yang menjadikannya sebagai modal untuk akhirat. Wang ringgit dipertaruhkan sebagai saham akhirat dengan bersedekah, mendirikan masjid, membantu fakir miskin dan anak yatim, menyelesaikan masalah dan keperluan jiran dan masyarakat sekeliling. Mereka inilah yang berjaya menukar harta menjadikan sebagai pahala atau membeli akhirat dengan dunia. Sebaliknya amat rugi mereka yang mempunyai wang ringgit dan harta kekayaan tetapi membelanjakan untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah untuk akhiratnya; atau lebih dahsyat jika digunakan untuk kerja-kerja maksiat dan hiburan semata. Di akhirat akan ditanya Allah ke mana wang ringgit kita dibelanjakan dengan begitu halus dan tereperinci.

Dalam Al-Quran banyak sekali ayat yang menjelaskan bahawa kehidupan akhirat adalah lebih penting dan lebih kekal. Oleh itu, perlulah bagi kita melebihkan kehidupan akhirat daripada dunia. Kehidupan di dunia hanya dalam tempoh terhad; jarang-jarang melebihi 90 tahun; tetapi akhirat tiada batasan waktu. Sudahlah begitu diriwayatkan satu hari di akhirat menyamai 1000 tahun di dunia. Jadi berapalah nilai umur dunia dibandingkah akhirat? Orang yang bijak tentunya berpandangan jauh iaitu untuk kehidupan akhirat. Ada di antara orang-orang alim dan para wali sangat mengambil berat tentang pengisian waktu dengan ibadat. Mereka tidak rela membuang masa begitu sahaja. Setiap saat bagi mereka adalah berharga dan mesti diisi dengan sesuatu ibadat supaya tidak terbuang begitu saja. Bagi mereka, setiap nafas yang turun naik akan dipersoalkan. Pada sebelah malam, mereka menggunakan masa untuk beribadat. Masa tidur mereka amat sedikit.

Sebaliknya mereka yang asyik mengumpul harta dunia untuk dunia adalah berfikiran sempit kerana tidak menjangkau alam abadi di akhirat. Ahli dunia saban masa memikirkan bagaimana nak mengumpul harta benda hingga menjadi kaya. Walaupun sudah kaya, mereka masih berusaha lagi supaya menjadi bertambah kaya; tanpa sedikit pun memikirkan bagaimana harta yang ada pada mereka hendak diinfaqkan di jalan Allah supaya hasilnya dapat dituai di akhirat kelak. Orang kaya begini pada hakikatnya adalah miskin kerana masih banyak memerlukan sesuatu.

Semasa perjalanan Israk Mikraj, Allah menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru lepas ditanam, terus berbuah dan dituai; begitulah seterusnya. Inilah ibarat orang yang membuat kebajikan sentiasa tak putus-putus menerima ganjaran pahala yang banyak di sisi Allah. Balasan pahala ini akan dinikmati kebahagiaannya di akhirat kelak.

Dinukilkan dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanya kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, "Aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir." Raja tercengang dan berkata, "Mengapa kamu berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau ia dicuri orang, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa amat sedih." Selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya. Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali berjumpa Allah.

Sebagai kesimpulannya, kita hendaklah mempunyai pendirian berkaitan dengan penumpukan harta kekayaan. Yang lebih penting bagi kita ialah adakah kita akan diterima oleh Allah di akhirat kelak sebagai hambaNya yang soleh. Begitu juga adakah Nabi Muhammad saw akan mengaku atau mengiktiraf kita sebagai umatnya. Jika Allah tak mengaku hambaNya dan Nabi Muhammad saw tak mengaku kita sebagai umatnya, ke mana lagi kita nak pergi ketika itu? Ke mana tempat kita nak mengadu nasib? Di dunia bolehlah meminta bantuan dari kaum kerabat dan sebagainya tetapi di akhirat siapa lagi selain Allah dan rasulnya. Akhirnya sama-sama kita meminta taufiq dan hidayat semoga kita berada di landasan sebenar sebelum kita dipanggil oleh Allah. Kita pohonkan keselamatan dan taubat di atas dosa-dosa kita dan mudahan kita kembali menemuiNya dalam keadaan Allah meredhai kita, insyALLAH..


(Klik untuk baca selanjutnya)

Tuesday, December 15, 2009

Hidup Untuk Islam

HIDUP UNTUK ISLAM

Bismillah walhamdulillah. Assalamualaikum warahmatullah...
Penggabungan diri dalam islam mewajibkan kita supaya hidup menurut cara hidup islam dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak, iaitu menyeluruh seluruh aspek kehidupan. Penggabungan ini juga mewajibkan kita menyerahkan segala keupayaan dan kemampuan untuk sesuatu yang dapat mengagungkan kesultanan islam, yakni pemerintahan islam dan meningkatkan pembinaannya.

3 golongan manusia:
1) Golongan yang hidup untuk dunia. Golongan ini ingkar dengan kehidupan setelah kematian iaitu kehidupan akhirat, mereka ingkar dengan hisab iaitu bahawa segala amal perbuatan di dunia akan diperhitungkan kelak. Oleh yang demikian mereka hidup bermatlamatkan kehidupan dunia. Mereka akan terus mengejar kenikmatan dunia dan akhirnya karam dalam nafsu dan tewas untuk sampai ke destinasi akhirat.

2) Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat. Golongan ini adalah kebanyakan orang di dunia ini. akidah mereka bergelra tetapi mereka sesat dalam menjalani kehidupan. Mereka mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat, tetapi mereka melanggar perintah dan larangan Allah. Akhirat adalah gambaran kulit sahaja. Mereka menampal dunia mereka dengan mengoyakkan agama.

3) Golongan yang mengganggap dunia sebagai ladang akhirat. Mereka adalah orang mukmin yang sebenarnya. Firman Allah: “ dan tiadalah kehidupan dunia daripada mainan dan senda gurau sahaja”.(Al-An’am:32). Orang yang benar-benar menganut islam menganggap dunia sebagai satu medan perlumbaan untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan mencapai redhaNya. Keseluruhan kehidupan mereka dari segala sudut, ilmu, perniagaan, harga, rumahtangga, masa dan fikiran mereka kesemuanya digunakan untuk mencapai matlamat tersebut.

Rasulullah bersabda: “celakalah abdi dinar, celakalah abdi dirham, celakalah abdi qutaifah ( sejenis matawang).” ( hadis riwayat bukhari )

BAGAIMANA CARA HIDUP UNTUK ISLAM?

1) Mengetahui matlamat hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.Firman Allah dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 bermaksud, “tidak aku jadikan dari kalangan manusia dan jin itu melainkan untuk mengadikan diri kepadaKu”.

2)Mengetahui nilai dunia berbanding nilai akhirat.Hadis ada menyebut:“Pada suatu hari Rasulullah telah berdiri di pinggir tempat pembuangan sampah dan menyeru para sahabatnya dengan bersabda: “kejarlah dunia”. Kemudian baginda mengambil seketul sampah yang telah busuk dan seketul tulang yang telah reput lantas bersabda: “ inilah dunia”. (hadis riwayat ibn Abi Dunya dan Baihaqi).

3) Mengetahui maut suatu yang pasti dan mengambil pengajarannya.Firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat 185 bermaksud: “tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahala kamu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka, mereka akan dimasukkan dalam syurga maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.

4)Mengetahui hakikat Islam dengan mempelajari, mendalami dan mengetahui dasar-dasar Islam, hukum-hukumnya dan halal haramnya.Rasulullah bersabda: “Sesunguhnya ilmu itu hanya didapati daripada belajar dan kefahaman itu daripada mendalami, barangsiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman tentang agama.” (hadis riwayat Askari daripada Anas bin Malik)“Sesungguhnya para anbia’ itu tidak meninggalkan pusaka berbentuk dinar dan dirham, tetapi mereka meninggalkan ilmu, barangsiapa yang menerimanya, beliau akan menerimanya dengan bahagian yang lumayan.” ( hadis riwayat Abu Daud)

5)Mengetahui hakikat jahiliyyah dengan mengenali aliran pemikiran, mazhab dan garis perjuangannya di samping mencari ketempangan dan kecacatannya.Perkara ini perlu diketahui supaya dapat mengetahui bahaya dan bencananya supaya dapat mengelakkan daripada penipuan dan sebagai persediaan untuk menghadapi dan memeranginya.

SIFAT-SIFAT ORANG HIDUP UNTUK ISLAM

1) Berpegang dengan islam secara praktik. Iman termetrai dalam hati dan dibuktikan dengan amalan. Firman Allah dalam surah As-saff ayat 3, “Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan suatu yang tidak kamu lakukan.”Rasulullah bersabda: “jadilah kamu pemelihara ilmu dan janganlah kamu jadi orang yang meriwayatkan ilmu.”

2) Mencari dan meneliti suatu yang mendatangkan maslahat kepada Islam. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang bangun pagi dan tidak mengambil berat urusan orang Islam, beliau bukan dari golongan mereka.”

3) Merasa bangga dengan kebenaran dan kepercayaan kepada Allah. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 139, “ Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang beriman.”

4) Beriltizam dengan amal-amal Islam dan bekerjasama dengan orang-orang yang beramal untuk Islam. Apabila menganut agama islam kita diwajibkan oleh Islam untuk beramal dan bekerja bersama-sama jemaah. Islam mewajibkan kita bekerjasama dengan orang lain yang bekerja dalam medan dakwah kepada Allah, amar ma’ruf nahi mungkar dan membina individu muslim, keluarga muslim dan negara islam. Dalam surah Al-Maidah ayat 2, Allah berfirman:

“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan janglah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.”Sabda Nabi SAW: “Bandingan seorang muslim dengan muslim yang lain adalah seperti binaan yang tersusun kukuh, sebahagiannya memperkuat yang lain.” (hadis riwayat Baukhari dan Muslim).

“Kamu mestilah bersama jemaah muslimin dan imam mereka.” (sebahagian hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

PENUTUP
Peluang hidup di dunia hanyalah sekali sahaja, rebutlah masa yang ada sekarang sebelum dijemput Ilahi selama-lamanya, untuk kita mengetahui, mendalami dasar-dasar islam serta mengamalkannya. W/A


(Klik untuk baca selanjutnya)

Mana satu kita???

MANA SATU KITA???

Bismillah walhamdulillah, Assalamualaikum warahmatulah…

Daripada wahab bin Munabbih beliau berkata bahawa iblis telah menemui yahya bin zakaria dan lantas yahya berkata kepada iblis: “ceritakan tabiat anak-anak adam di sisi kamu”, iblis pun berkata: “segolongan mereka itu seperti kamu. Kami tidak mampu sedikit pun menggoda mereka dan golongan dua adalah golongan yang menjadi seperti bola di tangan anak-anak kamu, hawa nafsu mereka menolong kami menawan mereka, dan golongan ketiga pula adalah golongan yang amat sukar bagi kami, kami menemui seorang dari mereka hinggalah kami berjaya mencapai apa yang kami kehendaki, tetapi kemudian beliau beristighfar, dengan istighfar itu beliau telah merosakkkan apa yang kami dapati darinya. Kami tidak pernah putus asa dari menggodanya dan kami tidak akan mendapat kehendak kami darinya.”

Manusia itu terbahagi kepada 3 golongan:
1)Golongan pertama adalah adalah golongan orang-orang maksum, seperti Allah, para Rasul dan Nabi.

2)Golongan kedua ialah golongan yang ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Golongan ini tunduk kepada kepada dunia dan melupakan Allah.firman Allah SWT dalam surah Al-Jaatsiyah: 23 bermaksud:"maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. maka siapakah yang akan memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat), maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?"

3)Golongan ketiga adalah golongan yang berjihad melawan hawa nafsu. Kadangkala menang kadangkala kalah. Apabila bersalah mereka menyesal dan bertaubat. Sebagaimana nabi SAW bersabda : “semua anak adam itu berslah dan yang paling baik adalah mereka yang bertaubat.” (hadis riwayat tirmizi dan Ibn Majah)

SENDI-SENDI KEKUATAN

1)Hati.
Ali bin abi talib berkata: “ Allah mempunyai bejana di bumi ini iaitu hati. Hati yan paling Allah kasihi adalah hati yang paling lembut, paling bersih, paling cekal.kemudian Ali menerangkan maksudnya: “ paling cekal dalam beragama, paling bersih dalam keyakinannya dan paling lembut dengan saudaranya”. Allah menggambarkan hati-hati orang yang beriman dalm surah al-anfal:bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Manakala hati orang kafir pula digambarkan dalam surah Al-Hajj iaitu “ sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta adalah hati yang didalam dada.”

2) Akal.
Akal menjadi sendi kemenangan sekiranya ia dapat melihat, mengetahui dan membezakan yang hak dan yang batil. Firman Allah dalm surah faathir: bermaksud "... sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Oleh sebab demikian kita dituntut oleh islam untuk menuntut ilmu, mendalami agama supaya akal dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk di sisi Allah dan agama Islam.

Sabda rasulullah SAW:“kelebihan orang yang berilmu berbanding dengan orang beribadat samalah dengan kelebihanku dibandingkan dengan orang yang paling rendah di kalangan sahabatku.”
Juga sabda Nabi lagi kepada Ali: “jika manusia menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amal kebajikan, hampirkanlah dirimu kepada Allah dengan ilmu.”
“Sesunguhnya ilmu itu hanya didapati daripada belajar dan kefahaman itu daripada mendalami, barangsiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman tentang agama.” (hadis riwayat Askari daripada Anas bin Malik)

Cahaya akal tidak dapat dipadamkan oleh sesuatu pun kecuali maksiat, kekal dalam maksiat, terang-terangan melakukan maksiat dan tidak bertaubat setelah melakukan maksiat, kerana Rasulullah pernah memberitahu bahawa sesiapa yang melakukan dosa, akal akan berpisah daripadanya dan tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya.

Sabda rasulullah SAW: “sesungguhnya syaitan itu berlari dalam diri anak adam seperti mengalirnya darah, oleh itu sempitkanlah laluan syaitan dengan berlapar.” ( hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang mukmin bertemu dengan syaitan bagi orang kafir dan didapati syaitan bagi orang mukmin kurus dan syaitan orang kafir gemuk. Lantas syaitan orang kafir menanyakan syaitan mukmin kenapa kamu kurus dan dukacita, jawab syaitan orang mukmin: “ aku mendampingi seseorang untuk menggodanya, apabila hendak makan dia menyebut nama Allah, jadi aku berlapar, apabila handak minum dia menyebut nama Allah, jadi aku kehausan dan apabila beliau memakai pakaian beliau menyebut nama Allah, dengan itu aku bertelanjang. Apabila dia memakai munyak rambut dia menyebut nama Allah, sebab itulah aku kusut masai. Syaitan kafir pun terus menjawab : “tetapi aku mendampingi orang tidak melakukan sedikitpun apa yang kamu sebutkan itu. Oleh itu aku berkongsi dengannya makananya, minumannya, pakaiannya.”

Benteng pertahanan orang islam yang beriman kepada Allah adalah dengan beristighfar, berzikir, membaca Al-Quran, menjauhi sifat tergesa-gesa dan berhati-hati dalam dalam semua perkara. Rasulullah pernah bersabda: “ terburu-buru itu daripada syaitan dan berhati-hati itu daripada Allah.”

PENUTUP
Oleh yang demikian, sahabat-sahabiah sekalian, rakan taulan, marilah kita muhasabah diri, di mana kita sebenarnya, adakah hari ini lebih baik daripada semalam? Adakah iman kita bertambah atau berkurang? Atau di tahap yang sama?... “perbaikilah dirimu dan serulah orang lain”.. W/A


(Klik untuk baca selanjutnya)

Tuesday, December 8, 2009

Islam dan Demokrasi : Suatu Pencerahan

ISLAM DAN DEMOKRASI

Assalamualaikum warahmatullah

Bismillah walhamdulillah...

Seringkali menjadi persoalan di minda, adakah demokrasi adalah suatu yang diasaskan oleh Aristotle itu adalah demokrasi yang diamalkan kini di Malaysia, adalah haram? Perbincangan ringkas di bawah menjawab persoalan demokrasi yang di amalkan di Malaysia.

Politik islam

Konsep politik Islam adalah dengan memahami kaedah syarak mengikut prinsipnya. Konsep pelaksanaannya perlu bijaksana mengikut situasi dan realiti yang hasrus dipraktikkan dan ketegasan pada tempatnya yang sewajarnya.

Imam Ibnu Al-Qayyim menjelaskan;
Imam Syafei menegaskan, “tiada politik melainkan menepati hukum syara’.”
Ibnu Uqail menyatakan, “politik itu adalah tindakan yang menghampirkan kepada maslahat yakni membawa kebaikan dan menjauhkan daripada keburukan, sekalipun tidak dinyatakan oleh Nabi SAW, dan tidak ada wahyu mengenainya. Apabila bermaksud ‘melainkan menepati hukum syara’, bermaksud tidak menyalahi hukum syara’. Itu adalah betul. Kalau dikatakan bahawa tiada politik itu, melainkan mestilah disebut syara’ iaitu secara nas, maka salah dan menyalahkan para sahabat, kerana berlaku perkara-perkara ini di kalangan para khulafa’ Ar-Rasyidin dan disertai para sahabat.

Kita lihat contoh:
Semasa pemerintahan khalifah Umar, pemilikan tanah kepada para petani bukan islam di wilayah yang diperintahkan pleh orang islam, yang sebelumnya mereka hanya menjadi petani kepada tanah milik bangsawan. Bagi orang islam mereka dikenakanzakat pertanian, bagi yang bukan islam pula mereka dikenakan ‘usyur. Beliau juga menukar imbuhan kesamarataan yang dilakukan pada zaman Nabi dan Abu Bakar.

Khalifah Uthman pula memerintahkan supaya azan jumaat dilakukan 2x kerana masyarakat di zamannya lambat datang ke masjid. Imam Abu hanifah meletakkan syarat meneroka tanah wajib mendapat kebenaran kerajaan, walaupun hadis ada menyebut :

“sesiapa yang meneroka tanah yang mati (tanpa milik) menjadi haknya”

Hadis ini wurud kerana Nabi SAW berada di bumi hijaz yang tidak ramai penduduk dan tanahnya yang sukar diteroka kerana keadaan berpad ang pasir.

Politik Islam melibatkan cara pelaksanaan hukum supaya lebih cermat, bijaksana dan adil serta menghadapi perkara baru yang muncul dalam masyarakat. Ia memerlukan penterjemahan pelaksanaan hukum Allah yang memberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.



Demokrasi barat

Demokrasi tercetus apabila pemerintah berkuasa mutlak (diktator) dan mengamalkan teokrasi. Kebencian rakyat kepada pemerintah, kezaliman secara fitrah dan dengan itu lahirlah fikrah betapa perlunya rakyat diberi hak dalam urusan pemerintahan.

Demokrasi diamalkan oleh negara-negara barat termasuklah perancis, England, Switzerland dan lain-lain. Demokrasi terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
• Demokrasi langsung: (Athen)Rakyat yang berhak bersuara hanya di kalangan lelaki merdeka dan cukup umur yang ditetapkan dikumpulkan beberapa kali dalam setahun secara berkala bagi membincangkan kepentingan umum, membuat undang-undang, berbincang berkaitan peperangan, perdamaian, perjanjian, melanti hakim dan sebagainya. Tetapi ia hanya berlaku secara teori bukan praktikal.
• Demokrasi perwakilan: Demokrasi berparlimen melalui pilihanraya iaitu rakyat memilih wakil-wakil mereka dan seterusnya wakil-wakil yang berjaya dipilih membentuk kerajaan.
• Demokrasi secara langsung dan tidak langsung: rakyat memilih wakil mereka melalui pilihanraya dan pengutan suara diadakan dengan rakyat mengundi bagi menyatakan persetujuan.

Prinsip demokrasi

Prinsip demokrasi yang diamalkan adalah kekuasaan rakyat termasuklah kebebasan dan hak, dan kesamarataan.
Ia tidak lain tidak bukan iaitu meletakkan kuasa pemilihan pemimpin oleh rakyat yang dipimpin itu sendiri.

Demokrasi yang diamalkan sedikit demi sedikit mengalami perubahan mengikut kesesuaian keadaan dan situasi. Walaupun demikian mereka ditelan dengan ujian duniawi. Demokrasi barat lebih memperjuangkan hak individu dan kebebasan serta masih memberi kebebasan beragama walaupun agak terhad dan kebanyakkannya telah diselewengkan. Bagi komunis pula, ia lebih menumpukan kepada ekonomi dan kebendaan dan hilangnya hak rohani dan individualistik menyebabkan kehidupan tidak seimbang.



Islam dan demokrasi

Demokrasi yang dibawa oleh barat ini menunjukkan persaamaan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam dan sifat fitrah iaitu berkehendakkan kebebasan, membenci penindasan dan kekejaman.Persamaan ini boleh dilihat dalam agama kristian yang dianuti barat kerana masih ada saki-baki agama samawi oleh mereka. Allah mengurniakan akal kepada manusia akal dan meletakkannya di tempat yang mulia, sementara Islam menentukan kenijaksanaan akal dengan panduan syara’.

Islam bersifat terbuka kepada sebarang kebijaksanaan walaupun ia datang daripada idea luar. Nabi SAW bersabda :
“ kebijaksanaan itu barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, dialah yang berhak mengambilnya”

Pada zaman jahiliyyah, Nabi SAW menerima peristiwa yang berlaku di rumah Abdullah bin Jud’an di Mekah yang dihadiri bapa saudara Nabi iaitu pakatan membela orang-orang Islam yang dizalimi, iaitu Halful Fudhul. Nabi bersabda: “ sekiranya Halful Fudhul ini dilakukan di zaman Islam, saya menyertainya.”

Ketika pemerintahan khalifah Umar, Islam berjaya menjatuhkan dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi. Umar mendapati ada beberapa perkara dalam pentadbiran kedua-dua negara itu boleh dijadikan contoh baik seperti pembahagian jabatan dan sistem imbuhan dan Umar mengambil keputusan menirunya.
Perubahan yang baik adalah hudayah daripada Allah kepada Rasul yang dilantik di kalangan manusia terbaik pada zaman masing-masing.

Peristiwa menggali parit ketika perang Ahzab adalah pandangan Salman Al-Farisi.

Peristiwa Hijrah Nabi ke kota madinah juga menggunakan penunjuk jalannya adalah orang musyrik.

Kerajaan islam madinah oleh Rasulullah memberi hak kebebasan kepada rakyat secara mesyuarat,nasihat, mengajak kepada kebaikan dan menghalang kejahatan, tiada paksaan dalam beragama, memberi perlindungan kepada orang-orang yang dizalimi.

Semua ciri-ciri ini wujud dalam demokrasi barat, yang sebenarnya telah lama diterapkan dalam sistem Islam.

Sikap umat islam terbahagi kepada 3 golongan terhadap demokrasi :
1) golongan yang menerima secara mendadak kerana dipengaruhi pemikiran sekular
2)golongan yang menolak secara mendadak kerana menganggap semua yang asing wajib ditolak.
3)golongan yang berijtihad dengan gerakan Islam termasuklah gerakan ikhwanul muslimin,parti Islam di Turki, pakistan, indonesia,pas di malaysia dan lain-lain lagi.

Demokrasi ini diakui diterima menjadikannya sebagai wasilah untuk menegakkan Islam. Ini kerana amalan demokrasi ini banyak persamaan (dengan zaman kerasulan)dan ia boleh dinilai secara pembaharuan dan islah mengikut prinsip Islam yang jitu. Secara lahiriahnya banyak persamaan dengan islam dari segi hukum, objektif dan sejarah. Tetapi ideologi ciptaan manusia ini dipengaruhi oleh kelemahan pelaksananya, manusia yang tidak lari daripada sifat tidak sempurna. Oleh sebab itulah ia mengalami perubahan demi perubahan.

Persamaan antara demokrasi dengan islam adalah merangkumi:
1) Menolak diktator
2)Permesyuaratan
3)Kebasan bersuara
4)Hisbah
5)pilihanraya- Tidak ada dalil pemilihan khalifah selepas wafatnya Nabi SAW mengenainya. Cara pemilihan khulafa’ rasyidin berubah mengikut keadaan dan mendapatkan pendapat umum.
• Khalifah Abu bakar dibaiah setelah belaku musyawwarah dan sepakat kerana paling berilmu, berpengaruh dan mempunyai pengaruh yang kuat.
• Khalifah Umar pula dicalonkan oleh Abu Bakar sebelum beliau meninggal dunia
• Khalifah Uthman dan khalifah Ali bi Abu Talib pula secara musyawwarah yang berlainan sedikit mengikut keadaan dan situasi yang telah berubah.

6)pendapat majoriti-tetapi bagi islam, pendapat minoriti juga tidak di sia-siakan.


Manakala perbezaan demokrasi dan islam pula adalah:
1)Hubungan agama dan politik. Islam tidak sama sekali memisahkan politik dengan agama berbanding demokrasi barat memisahkan kuasa pemerintahan dengan kuasa paderi(agama).
2)Permesyuaratan. Dalam demokrasi barat hanya menekankan aspek politik sahaja. Manakala dalam islam ditekankan seluruh aspek termasuk ibadah.
3)Ketuanan atau kekuasaan rakyat. Dalam islam tiada kuasa mutlak, kerana ia hanya milik Allah.
4)Demokrasi barat tidak terikat dengan agama dan akhlak, bahkan dikuasai hawa nafsu.
5)Hanya menghormati pandangan majoriti, tetapi Islam mengambil berat juga dengan pandangan minoriti yang berilmu.

Gerakan Islam dan demokrasi

Seluruh para pemimpin dan sarjana Islam, gerakan islam di seluruh dunia yang lahir melalui gerakan pembaharuan, berijtihad menyertai pilihanraya melalui demokrasi. Menolak mudharat kecil bagi manfaat yang besar. Islam meletakkan perkara ini dalam skop ijtihad yang perlu dikaji secara mendalam bagi menentukan hukum dan hendaklah berpandukan kaedah para sarjana Islam usul.
“menghukum sesuatu perkara itu adalah cabang yang lahir daripada tasawufnya hakikatnya secara terperinci.”

Secara kasarnya kita dapat melihat kelemahan yang berlaku dalam sistem pilihanraya dalam demokrasi, namun gerakan islam masih menyertainya kerana kelemahan itu adalah perkara sampingan yang boleh diatasi bukan sifat demokrasi. Penyertaan ini kerana terdapat beberapa perkara dalam sistem demokrasi yang memestikan gerakan islam masuk ke gelanggangnya.

Antaranya adalah :
Kaedah berdepan secara damai : Kaedah ini ditunjukkan dalam Al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Pendekatan secara kekerasan dilakukan apabila tiada ruang lagi untuk bersuara. Demokrasi memberi peluang untuk umat Islam bersuara dan peluang ini perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Menyeru kepada kebaikan dan menentang kemungkaran : Demokrasi memberi ruang berperlembagaan dan undang-undang. Ia mengajak masyarakat menegakkan kuasa pemerintahan dengan menubuhkan kerajaan yang mampu mengubah dengan tangan melalui perlaksanaan undang-undang atau menjadi pembangkang yang dapat menyatakan dengan lidah dan tulisan.
“jihad yang paling afdal adalah mengucap keadilan kepada kerajaan yang zalim”
Pelaksanaan Islam: Beberapa perkara di dalam demokrasi dapat dicontohi dan memberi peluang dakwah memperbaiki dengan petunjuk Ilahi. Dalil-dalil yang umum dan perkara yang tiada dalil perlu menggunakan ruang ijtihad menangani perkara baru. Peristiwa pemilihan khulafa’ Rasyidin menunjukkan syura mengalami pembaharuan dan meninggalkan bahan hukum islam yang kaya untuk diolah sepanjang zaman. Nabi SAW dan para khulafa’ rasyidin menerima dengan terbuka dalam urusan duniawi yang tidak ada dalil qat’ie atau thawabit. Ijtihad dilakukan sejak zaman nabi lagi, contohnya seperti apabila dihantar Muaz bin jabal ke yaman untuk menyampaikan Islam, apabila beliau tidak mendapatkan hukum daripada Allah dan rasul, beliau berijtihad dan Nabi SAW menerimanya. Imam malik juga menegaskan di tempat lain, semua pendapat boleh diterima dan diolak kecuali pendapat Nabi SAW. Imam malik jga menegaskan Nabi dan para sahabat maerantau ke seluruh pelosok, masing-masing dengan ilmu tersendiri, kalau dipaksa berpegang pada satu pendapat sahaja munkin membawa bencana besar. Demokrasi memberi ruang untuk memilih pemimpin dan kebebasan bersuara bagi memilih kerajaan yang adil dan memberi peluang kepada pendukung Islam bagi mencapai cita-cita islam.

Penutup

Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa demokrasi adalah sepakat para sarjana islam , gerakan islam yang bercita-cita tinggi mahu menegakkan negara islam, sebagai wasilah untuk mencapai matlamat tersebut. Tanggungjawab kita semua yang memahami tugas ini adalah tidak lain tidak bukan adalah untuk bersama-sama bergerakerja dengan gerakan ini untuk sama-sama mencapai cita-cita murni untuk islam. Urusan politik adalah sebahagian daripada kewajipan yang dilaksanakan oleh para rasul dengan perintah Allah, kita semua adalah penyambung rantai perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Ayuh kita bersama-sama berjuang menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan, mendirikan negara islam, menjatuhkan negara thagut. ALLAHUKBAR3X!!!.

*ringkasan daripada buku "islam dan demokrasi" oleh TG Haji Abdul Hadi Awang..
sebarang perbincangan amat dialu2kan, letakkan ilmu mendahului emosi...W/A..


(Klik untuk baca selanjutnya)
Related Posts with Thumbnails

DOWNLOAD BAHAN ILMIAH

حيا بالعربية

محادثة
@ يـَــا عـَــائِــشـَــة ُ، هـَـٰــذِهِ صـَــدِيـْــقـَــتـِــى خـَــدِيـْــجـَــة

@ Hai Aisyah, ini temanku Khadijah.

& أ َهـْــلاً وَسـَــهـْــلاً، كـَــيـْــفَ حـَــالـُــكِ يـَــا خـَــدِيـْــجـَــة

& Semoga anda menjadi keluarga kami dengan segala kemudahan, bagaimana khabarmu hai Khadijah?

@ أ َنـَــا بـِــخـَــيـْــر ٍ اَلـْــحـَــمـْــدُ لـِــلـَّــه، وَمـَــا اسـْــمُــكِ؟

@ Saya baik alhamdulillah, siapakah nama awak?

& إ ِسـْــمـِــى مـَــرْيـَــمُ بـِــنـْــت ُ الـْــحـَــاج ِ حـَــسـَــنْ

& Nama saya Maryam binti Haji Hasan.

@ مـَــا شـَــاءَ الله إ ِسـْــمٌ جـَــمـِــيـْــلٌ، أ َيـْــن َ تـَــسـْــكـُــنـِــيـْــن َ يـَــا مـَــرْيـَــمُ؟

@ Masya Allah nama yang bagus, di manakah awak tinggal hai Maryam?

& أ َسـْــكـُــن ُ فـِى رَقـْــم ِ ٤٨ مـِــنْ شـَــار ِع ِ مـِــيـْــلاَوَاتـِــىْ

& Saya tinggal di nombor 48 Jalan Melawati.

@ إ ِذ َن ْ بـَــيـْــتـُــكِ قــَــر ِيـْــبٌ مـِــنْ هـُــنـَــا

@ Kalau demikian rumah awak dekat sahaja dari sini.

& أ َجـَــلْ، مـِــائَــتـَــان ِ وَخـَــمـْــسـُــوْن َ مـِــتـْــرًا تـَــقـْــر ِيـْــبـًــا

& Ya, lebih kurang 250 meter dari sini.

@ هـَــلْ تـَــسـْــمـَــحـِــيـْــن َ لـِــى بـِــز ِيـَــارَتـِــكِ يـَــا مـَــرْ يـَــمُ؟

@ Apakah awak membolehkan saya mengunjungi awak hai Maryam?

& بـِــكـُــلِّ السـُّــرُوْرِ

& Dengan segala senang hati.

MARI BELAJAR BAHASA ARAB =)

BERSAMA MYKRK

ARAB MADINAH

ARAB INDO